; Marah ;

Satu hari datang seorang pemuda kepada Rasulullah s.a.w dan berkata kepada Rasulullah dan berkata: Wahai Rasulullah berikan aku nasihat. Rasulullah menjawab: Jangan kamu marah. Pemuda itu bertanya lagi: Apakah ada lagi nasihat yang lain? Rasulullah menjawab: Jangan Kamu marah. Sekali lagi lelaki itu bertanya. Rasulullah tetap menjawab: jangan kamu marah.


Setelah sekian lama…

Dengan nama Allah kumulakan bicara,

Ku nukilkan kata, dari hati ini

moga sampai ia ke hatimu

moga ia tidak hanya tulisan kosong semata..


Moga ikhwah akhawat berada di dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Sihat iman, sihat jasad, ameen!

Terlalu lama menghilangkan diri, terlalu lama. Terakhir adalah pada 4 Ogos yang lalu, dan hari ini bertarikh 26 September.

Hampir dua bulan lamanya.

Bukannya niat di hati untuk menghilangkan diri, sepi, tanpa khabar berita.

Bukannya niat untuk tidak lagi berkongsi rasa, maklumat bersama.

Tidak, sekali-kali tidak.

Namun, kerana jiwa yang seringkali sesak sejak akhir-akhir ini. Kerana kerapuhan kalbu, makanya saya mengambil keputusan untuk tidak menukilkan apa-apa di sini.

Agar teratak ini tidak dipenuhi dengan warkah-warkah pilu.

Mencari kekuatan, di sebalik yang terjadi.

Mencari hikmah, di sebalik apa yang berlaku pada diri.

Sungguh, sejak awal tahun sehingga hari ini, saya rasa sungguh bertuah kerana dipilih Allah melalui perlbagai ujian,

agar saya belajar erti sebenar bergantung padaNya

agar saya sedar bahawa perjalanan hidup ini tidak semudah yang disangka

agar saya tahu erti sebenar kekuatan dan kesabaran

agar saya mengerti, meyakini, bahawa di sebalik kesusahan itu, PASTI ada yang lebih baik yang Allah akan berikan

Belajar erti SYUKUR, kenal erti SABAR.

Selama ini, saya tahu- kekuatan itu tidak akan pernah kita rasai, melainkan jika ujian dan mehnah hidup telah dilalui.

Namun bila sendiri melalui, ooh. sungguh berat. Sangat berat!

Bukan semudah bibir menuturkan kata, Tidak semudah teori yang tertulis dalam buku-buku yang ada.

Paksa diri untuk kuat, paksa hati tahan cemburu. Paksa mulut untuk tidak mengeluh. Paksa jiwa untuk SABAR dan SYUKUR.

Namun, bila berada jauh sedikit dari semua ujian ini, keyakinan hadir bahawa Allah memberikan saya, apa yang saya perlu.

Dia memberikan saya, apa yang saya PERLU saat dan ketika ini.

Kalah dengan perasaan?

Ooh, itu tidak perlu cerita. Kadang bila berkongsi rasa dengan sahabat, hati seolah-olah pasti, semua ini telah mampu dihadapi.

Tapi…ada ketika, kalah!

Mujur~ saat jiwa rebah, Allah hadirkan sahabat-sahabat yang banyak membantu. Bantu meniupkan semangat dan nasihat, agar diri ini kembali bangkit.

Jalan ini susah, kerana ini sunnah. Beginilah perjalanan seorang pejuang. Beginilah sunnah mereka yang menempuhi jalan menuju syurga. Ia tidak dipenuhi dengan keindahan semata-mata, namun dipenuhi duri-duri ujian yang mencabar.

Semuanya kerana, syurga itu manis. Lantaran itu, perlulah saya bersusah-susah dahulu sebelum yang manis itu berjaya dicapai.

Kan? =)

Penulisan hari ini, agak beremosi bunyinya. Mohon maaf ye.

Setiap ujian itu,

tanda kasih Allah pada kita.

Moga kata ini selari dengan keyakinan jiwa.

Mohon redhaNya.